BAB 10
Selama seminggu disana, hubungan antara Faiz Darwin dan Diya Danisha semakin rapat. Pengalamannya di kampung itu cukup indah dan tak akan dilupakannya. Faiz Darwin teringat ketika mereka semua berada di pangkin kebun arwah datuk Diya Danisha kerana tersingkap segala rahsia dan perasaan mereka berdua. “Nisha, kenapa awak tak beritahu saya identiti dan memang kita pernah kenal sebelum ini?”, tanya Faiz Darwin apabila mereka ditinggalkan berdua di bawah pangkin itu sementara yang lain ada yang mengutip buah rambutan, langsat dan ciku di kebun. “Saya sengaja tak nak bagitahu sebab masa tu awak sombong sangat. Mulanya, saya tak tahu juga siapa awak tapi dari latar belakang awak yang saya tahu, baru saya teringat kita pernah kenal. Akhirnya tercapai impian saya berjumpa awak”, Diya Danisha menerangkannya.
Faiz Darwin suka melihat Diya Danisha tersenyum manis untuknya. Mahu sahaja dia mencium pipi itu tapi dia ingat batas antara mereka. Diya Danisha pula menyukai mata Faiz Darwin yang coklat sedang merenunginya tapi dia malu untuk membalas renungan jejaka itu. Ibu Diya Danisha, Puan Salamah melihat mereka dari jauh amat memahami lenggok tubuh mereka yang sudah jatuh cinta itu. Dia mendekati anak gadisnya. Hampir senja mereka pulang ke rumah neneknya. Selepas makan malam, Puan Salamah berjumpa dengan anak gadisnya, Diya Danisha di biliknya. “Diya, ibu tengok kamu dan Faiz semakin rapat, ada pape yang perlu ibu tahu”, usik Puan Salamah. Muka Diya Danisha merah padam mendengar kata ibunya itu. “Takde papelah, bu. Kami mengeratkan lagi persahabatan yang terputus 17 tahun lepas”, ujar Diya Danisha.
“Apa salahnya, kalau hubungan itu membawa sampai ke jinjang pelamin. Lagipun ibu tengok, Faiz memang sukakan kamu”, Puan Salamah giat mengusik anak gadisnya itu. Diya Danisha berkata, “Yeke ibu. Biarlah kami berkawan dulu. Lagipun Diya masih pekerjanya ibu”. Puan Salamah hanya tersenyum lalu keluar dari bilik itu menemani suaminya yang sedang asyik menonton filem kungfu. Diya Danisha yang ditinggalkan keseorangan mula duduk meneleku memikirkan kata-kata ibunya. Dia memang menyedarinya tapi dinafikan perasaannya dan Faiz Darwin demi tugasannya. Sepanjang mereka berada di kampung, Faiz Darwin semakin rapat dengan semua ahli keluarganya. Bila mereka ditinggalkan berdua, Diya Danisha sedar yang Faiz Darwin akan curi-curi merenung dan menyentuh tangannya. Diya Danisha terus tertidur selepas itu.
Sebaik pulang ke rumahnya, Faiz Darwin duduk di sofa dalam biliknya sambil memikirkan tentang Diya Danisha. Sejak dia balik dari kampung Diya Danisha, Faiz Darwin mula memikirkan cara-cara yang terbaik untuk menawan hati Diya Danisha agar tidak terlepas darinya. Sepanjang berada di sana, hubungan mereka semakin baik dan dia sendiri semakin rapat dengan ahli keluarganya. Faiz Darwin terus memanjat katilnya untuk tidur dan berdoa semoga malam ini dia akan tidur lena serta bermimpikan Diya Danisha yang manis.
Selepas seminggu bercuti, Diya Danisha menjalankan tugasnya seperti biasa. Hubungan mereka juga semakin rapat dan erat. Faiz Darwin selalu mengajaknya makan tengah hari bersama sejak dari itu. Diya Danisha pula melayan Faiz Darwin seperti seorang kawan sehingga Faiz Darwin merasakan dirinya tidak layak bersama Diya Danisha. Akhirnya Faiz Darwin membuat satu rancangan yang pasti dapat menawan hati Diya Danisha. Dia menghadiahkan sebuah gaun labuh berwarna peach serta kasut tumit tinggi warna senada yang memang sesuai dengan Diya Danisha. Dia menyuruh Diya Danisha memakainya pada malam ini kerana dia akan menjemput Diya Danisha di rumahnya untuk makan malam bersamanya.
Pada malam itu, Diya Danisha mengenakan gaun dan kasut itu. Dia bersolek ringkas dan mendandan rambutnya agar nampak menarik dan menawan. Ibu dan ayahnya menyukai gayanya pada malam itu. “Diya nak pergi mana dengan Faiz malam ni?”, bisik Puan Salamah di telinganya. Diya Danisha menjungkitkan bahunya tanda tidak tahu ke mana mereka akan pergi. Faiz Darwin yang berkemeja rona yang sama dengan pakaian Diya Danisha kelihatan segak ketika menjemputnya di rumah. “Faiz, jaga anak pakcik ni baik-baik. Pakcik harap kamu dapat membahagiakan dia”, bisik Encik Suffian di telinga Faiz Darwin. Faiz Darwin mengangguk sebelum pergi dari situ bersama Diya Danisha.
“Faiz, kita nak ke mana ni?”, tanya Diya Danisha lembut memecahkan kebisuan mereka sepanjang perjalanan itu. “Nisha jangan risau ok. Saya bukan nak culik awak pun. Saya nak bawa awak makan malam berdua dengan saya dekat Cozy Corner, Putrajaya je”, ujar Faiz Darwin lalu menumpukan pemanduannya. Sebaik tiba di situ, Faiz Darwin membuka pintu kereta dan menggengam erat tangan Diya Danisha ke meja mereka yang terhias indah di bawah cahaya lampu dan lilin di luar restoran itu. Makan malam mereka itu sangat indah dan bahagia bagi mereka berdua. Akhirnya Faiz Darwin meluahkan isi hatinya pada Diya Danisha. Dia gembira kerana Diya Danisha menerima dirinya sebagai kekasih.
No comments:
Post a Comment